LESSON PLAN LOGIC
Set Induksi
1. Sesi pembelajaran dimulakan dengan mengimbau semula topik yang diajar sebelumnya. Pengetahuan sedia ada pelajar mengenai Janjang Aritmetik penting sebagai petunjuk dan memudahkan pelajar untuk mempelajari topik yang akan diajar. Rumus-rumus atau formula-formula yang dipelajari diulang dan diterapkan secara sedikit demi sedikit. Pelajar-pelajar akan lebih yakin untuk mempelajari subtopik Janjang yang baru.
2. Menurut David P. Ausubel, pengetahuan sedia ada penting sebagai sokongan untuk maklumat baru yang akan diterima. Ia membantu dalam proses belajar ketika bahan yang akan diperkenalkan lebih kompleks.
3. Di samping itu, pelajar juga perlu mempunyai skema untuk mempelajari topik Janjang ini. Ini adalah berdasarkan Teori Skemata yang dikemukakan oleh Jean Piaget. Skemata adalah struktur kognitif yang membolehkan seseorang beradaptasi dan mengalami perkembangan mental. Efektif untuk meningkatkan kemampuan memahami sesuatu topik daripada pengetahuan sedia ada.
Perkembangan
1. Guru menerangkan langkah-langkah yang terlibat dalam penyelesaian masalah. Langkah-langkah penyelesaian masalah ini berdasarkan Model Polya Model Polya merupakan model penyelesaian masalah matematik yang dibina oleh George Polya. Georga Polya telah memperkenalkan satu model penyelesaian masalah dalam bukunya ‘How to Solve It’ yang memberi tumpuan teknik penyelesaiaan masalah yang menarik dan juga prinsip pembelajaran matematik dapat dipindahkan sebaik mungkin. Model ini membabitkan empat fasa utama iaitu:
i) Memahami dan mentafsir sesuatu masalah
ii) Merancang / membentuk rancangan penyelesaian
iii) Melaksanakan penyelesaian
iv) Menyemak semula
2. Guru memperkenalkan langkah-langkah dalam penyelesaian masalah matematik diikuti contoh soalan yang berkaitan. Ini adalah melalui pendekatan deduktif. Konsep deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Ini bermaksud bahawa guru memberikan rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan tertentu kepada murid dan mengajarkannya kepada murid sehingga murid faham, kemudian murid akan mengaplikasikannya atau juga boleh digunakan sebagai proses menyelesaikan masalah dalam Matematik.
Penilaian
1. Guru mengedarkan Lembaran Kerja 1 dan meminta pelajar melengkapkannya secara individu. Jika guru menulis soalan di papan putih dan mengarahkan pelajar menyalinnya semula, hal ini akan mengambil masa yang lama. Oleh itu, dengan mengedarkan lembaran kerja kepada pelajar, ia dapat menjimatkan masa pengajaran dan pembelajaran.
2. Guru menetapkan masa selama 10 minit untuk melengkapkan lembaran tersebut. Masa ditetapkan supaya pelajar dapat menguruskan masa untuk menjawab soalan itu dengan baik. Pengurusan masa yang betul sangat penting agar pelajar tidak kesuntukan masa untuk melengkapkan lembaran kerja itu.
3. Guru memantau pelajar dan membimbing pelajar yang tidak dapat menjawab soalan kerana Teori Personaliti Freud menjelaskan bahawa setiap murid di dalam kelas mempunyai tahap komponen personaliti yang berbeza-beza. Oleh itu, tidak semua murid di dalam kelas itu dapat memahami isi pembelajaran dengan sepenuhnya. Melalui pemantauan ini, guru dapat mengenalpasti pelajar yang mempunyai masalah berkaitan dengan tajuk yang diajar.
4. Guru memilih beberapa pelajar secara rawak untuk membentangkan hasil kerja mereka di hadapan kelas. Pemebentangan hasil kerja di hadapan kelas penting supaya pelajar dapat membentuk keyakinan diri yang tinggi dalam diri pelajar. Menurut Noran dan Habibah (1997), konsep kendiri boleh dibahagikan kepada konsep kendiri positif dan negatif. Keyakinan diri yang tinggi termasuk dalam konsep kendiri positif.
5. Guru memberi ganjaran kepada pelajar yang dapat menjawab semua soalan dengan betul kerana menurut Teori Pelaziman Operan Skinner ( 1904 - 1990), peneguhan positif adalah memberikan sesuatu ganjaran yang memuaskan pelajar setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Peneguhan positif yang diberikan oleh guru akan mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Menurut Skinner, peneguhan bermaksud jika pelajar menerima sesuatu gerak balas yang memuaskan setelah tingkah laku dipamerkan.
Penutup
1. Guru membuat rumusan tentang pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar dapat menggabungkan setiap pengalaman baru atau ilmu baru dengan pengetahuan sedia ada mereka tentang topik yang diajar. Ini adalah berdasarkan Teori Proses Pembelajaran yang telah dikemukakan oleh Jean Piaget di mana dalam proses asimilasi, pelajar menggabungkan pengalaman mereka dengan pengetahuan sedia ada. Seperti yang kita ketahui, pengetahuan sedia ada pelajar dalam topik Janjang ini adalah semasa mereka mempelajari topik-topik yang berkaitan di Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3 dan Tingkatan 4.
2. Guru juga membuat rumusan tentang pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut supaya segala maklumat yang diterima dapat diingati dan disimpan di dalam sistem memory pelajar. Seperti yang diperkatakan oleh Robert Gagne’ dalam The Phase of Learning Sequence, Fasa Simpanan (Storage Phase) mengkehendaki pelajar cuba mengingat dan menyimpan segala maklumat di dalam sistem memori.
3. Pelajar dikehendaki memperoleh semula segala isi pembelajaran yang tersimpan di dalam memori mereka untuk untuk membuat rumasan yang disuruh oleh guru. Fasa Perolehan Semula (Retrieval Phase) ini adalah kebolehan pelajar mengeluarkan maklumat yang tersimpan di dalam memori mereka.
4. Teori Kecerdasan Pelbagai yang diasaskan oleh Howard Gardner juga diaplikasikan di dalam bahagian penutup ini. Para pelajar yang bertanyakan soalan kepada guru mempunyai kecerdasan linguistik dan kecerdasan interpersonal. Manakala pelajar dikehendaki membuat peta konsep atau peta minda telah mengaplikasikan kemahiran visual dan ruang mereka.
Salam ceria, LV 1 dan LGV 1 anda menunjukkan cara susunan dan pengurusan masa yang mantap. Cuma, bagi pandangan kami, mungkin lebih baik sekiranya pelajar diberi peluang untuk 'explore' sendiri dalam menyelesaikan masalah Janjang Aritmetik daripada guru menerangkan setiap langkah bagi menyelesaikan masalah tersebut. Sekian.
ReplyDeleteKho Ee Sing
Nurul Irnafarhana Md Zain
Tan See Jhou
Gayathiry a/p Vijayakumar
Enoch Ang
Terima kasih di atas komen anda.
ReplyDeleteAda pelbagai kaedah dalam pengajaran 'problem solving' seperti perbincangan, pertanyaan secara berstruktur, pembelajaran secara koperatif(kaedah yang anda cadangkan) dan 'crafting problem'.
Tetapi untuk topik ini kami telah memilih kaedah perbincangan.